KOTA TINGGI: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan semua pihak supaya tidak memberikan tanggapan keterlaluan berhubung kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Menurut Khaled, perjumpaan itu yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani dan beberapa pakar ekonomi membuktikan keterbukaan Kerajaan Perpaduan untuk bertemu pelbagai pihak demi kepentingan rakyat dan negara.
“Inilah sebab Khairy dijemput ke mesyuarat itu. Saya percaya Khairy menggunakan peluang itu untuk menyampaikan pandangannya bagi membaiki dan melonjakkan kembali ekonomi Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melawat Felda Bukit Easter di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi berhubung kehadiran Khairy dalam perbincangan itu.
Terdahulu, Anwar dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebook berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mencari idea dan pandangan daripada semua lapisan masyarakat mengenai ekonomi negara.