![](https://media.buletintv3.my/2025/02/SARONG-MUSIC-RUN.jpg)
Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan menjaga keamanan negara dan tidak membiarkan mana-mana pihak mengganggu gugat kestabilan yang dinikmati rakyat.
Beliau turut menyeru rakyat untuk bersatu dan tidak membenarkan pihak luar merosakkan keharmonian negara.
“Jangan izinkan orang lain merosakkan keamanan negara,” tegasnya.
Dalam ucapannya sebelum merasmikan Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR 2025) di ibu negara, beliau turut mendoakan agar keselamatan negara terus terpelihara serta ekonomi kekal stabil demi kesejahteraan rakyat.
“Saya doakan negara kita selamat, rakyat selamat, ekonomi baik, pendapatan meningkat,” katanya.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/ANWAR-IBRAHIM-2.jpg)
Sementara itu, Perdana Menteri turut menyertai acara tiga kilometer berjalan kaki bersama 10,500 peserta lain sambil mengenakan kain sarung, simbol warisan budaya Melayu.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kain sarung sebagai identiti yang sinonim dengan budaya masyarakat rantau Melayu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.