comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan ambil kesempatan kutip sumbangan Palestin tapi bina mahligai – PM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang ke Tabung Palestin diingatkan supaya berbuat demikian di saluran dan sumber yang betul.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan pengalaman lalu, ada sebahagian kutipan derma tidak diuruskan dengan sebaiknya, sebaliknya digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Saya nak nasihatkan rakan-rakan di masjid, surau dan di ceramah di mana orang kutip duit, mesti ada pertanggungjawaban. Ia ada peraturan yang diurus dengan cekap.

“Jangan umpamanya ambil kesempatan itu untuk bina mahligai masing-masing, badan sukarelawan masing-masing, belanja tinggi untuk keindahan pejabat padahal dana ini adalah untuk bantuan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Tegasnya, bagi memastikan ketelusan, kutipan Tabung AAKRP akan disalur terus untuk bantuan perubatan, makan minum dan kemudahan asas untuk Gaza serta rakyat Palestin yang terkorban dan cedera.

Pada majlis penyampaian itu, lebih RM71 juta sumbangan diserahkan daripada 46 entiti termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, yayasan dan persendirian, menjadikan kutipan tabung terbabit kini mencecah lebih RM81 juta.

Sebelum ini, Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 telah menyatakan komitmen Malaysia membantu Palestin dengan penyaluran dana RM10 juta.

Terdahulu dalam ucapan, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, beliau amat terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia dalam isu konflik di Gaza.

Menurutnya, sumbangan yang diberikan sangat memberangsangkan dan dihargai.

“Saya percaya dengan adanya usaha bersepadu daripada semua pihak, lebih banyak bantuan dari segi dana mahupun barang keperluan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin.

“Bagi yang masih ingin menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin, saya sarankan untuk menggunakan platform AAKRP ini supaya proses penyaluran tersebut berjalan dengan lancar,” katanya.

Semua sumbangan (tunai/cek) boleh disalurkan menerusi akaun CIMB Islamic Bank, di nombor akaun 8600302489 di bawah nama penerima Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Loading...
Terkini