Oleh Fahiz Ariff
BENTONG: “Sebenarnya Janda Baik tidak terjejas dengan banjir lumpur di Bukit Tinggi”, demikian keluhan pengusaha pusat peranginan di Janda Baik, di sini yang gusar dengan kemerosotan jumlah pengunjung, meskipun destinasi itu selamat dikunjungi.
Sewaktu tinjauan dilakukan, rata-rata pengusaha percaya punca berlakunya kemerosotan itu dipengaruhi oleh kurangnya pendedahan berhubung realiti keselamatan kawasan berkenaan.
Pengusaha pusat peranginan, Mas Rizal Sallehudin, 48, berkata kebiasaannya tapak perkhemahan miliknya akan dikunjungi ramai pengunjung, namun akibat kurang pendedahan, tapaknya sunyi kebelakangan ini.
“Kalau ikut hujung minggu, tapak saya ni selalu sibuk dan sesak tapi untuk minggu ini macam kurang sikitlah”
Tambah, Nurrul Ain Abu Zarin, 37, yang juga pengusaha pusat peranginan di sini mendakwa ramai dikalangannya terpaksa menanggung rugi susulan pembatalan tempahan saat akhir pelanggan.
“Apabila ramai pelanggan minta tunda tempahan rumah inap (homestay), dekat situ sahaja kita dah rugi RM2000 untuk dua malam”
“Bukan saya je yang terjejas, pengusaha-pengusaha kampung macam kedai makan dan sebagainya turut terjejas”
Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha, Datuk Nik Huzlan Nik Hussein, 64, ketika ditemui berharap isu penutupan kawasan rekreasi ini dikaji semula agar tidak ‘mematikan’ usahawan-usahawan kecil yang terlibat dalam perniagaan pelancongan ini.
“Yang paling terkesan ialah pengusaha kecil-kecilan di kampung kerana tidak balik modal jika mahu dikira untung dengan kos baik pulih yang akan digunakan jika premis ditutup”
“Contohnya, jika dia ada satu tanah dia dah buka dia dapat rm1000 seminggu dikalikan sebulan dapat rm4000, jadi bila ‘ditutup’ ia akan menelan kos dari segi penyelenggaraan premis pelancongan”
Sementara itu, bagi orang ramai yang mahu berkunjung ke Janda Baik adalah dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur -Karak- Persimpangan Bukit Tinggi – Stesen BHP Bukit Tinggi – SMK Bukit Tinggi – Janda Baik.
Ia susulan, Jalan Kuala Lumpur-Bentong yang menghubungkan Genting Sempah ke Janda Baik ditutup kepada semua kenderaan.