comscore
Tumpuan :
Nasional

Jambatan tenggelam, ratusan penduduk kampung terputus hubungan

Anggota APM memantau keadaan air sungai yang melimpah sehingga menenggelami jambatan di Kampung Aring 5. – Foto: Ihsan APM

GUA MUSANG: Jambatan yang menjadi laluan utama keluar masuk di Kampung Aring 5, di sini, ditenggelami air semalam menyebabkan ratusan penduduk Orang Asli di kampung berkenaan terputus hubungan selama hampir lima jam.

Kejadian berlaku susulan hujan lebat sejak awal pagi semalam menyebabkan limpahan air Sungai Aring menenggelami jambatan itu bermula jam 5 petang sebelum surut pada jam 10 malam.

Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang, berkata kejadian terbabit menyebabkan penduduk tidak dapat keluar ke Gua Musang, manakala mereka yang sudah pergi berurusan di bandar berkenaan sebelum itu pula tidak dapat pulang ke rumah.

“Mereka yang mahu pulang ke rumah terpaksa menunggu air surut hingga kira-kira jam 10 malam untuk melalui jambatan itu. Hari ini pada sebelah pagi, jambatan itu didapati berselut, justeru penduduk perlu berhati-hati ketika melaluinya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Penduduk, Syaimi Abdul Hadi, 42, berkata insiden semalam adalah yang pertama berlaku, tahun ini, menyebabkan penduduk Orang Asli suku kaum Batek di kampung itu terputus jalan perhubungan.

“Sebelum ini, jambatan dinaiki air hanya berlaku pada musim tengkujuh dan kami di sini sudah sedia maklum akan situasi itu.

“Namun, kami tidak menyangka jambatan akan dinaiki air sehingga penduduk tidak dapat pulang ke rumah, semalam,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gua Musang, Mohd Yussalmi Mohd Yusoff, berkata hasil pemantauan semalam mendapati empat lokasi dinaiki air membabitkan Kampung Aring 5, Kampung Kerinting, Kampung Limau Kasturi serta Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh.

“Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditugaskan memantau paras air sungai, iaitu Sungai Aring (Kampung Aring 5), Sungai Ketil (Kampung Kerinting), Sungai Kerak (Kampung Limau Kasturi) dan Sungai Ceweh (RKT KESEDAR Jeram Tekoh).

“Bagaimanapun, paras air kemudian mulai menurun dan jalan terbabit boleh dilalui semula oleh semua penduduk,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini