GEORGE TOWN: Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup sementara Sabtu hingga Ahad ini bagi memberi laluan kepada acara Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) 2024.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, penutupan dan lencongan jalan akan dilakukan secara berperingkat bermula 10.30 malam Sabtu hingga 11 pagi Ahad untuk memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang 42 kilometer acara berlangsung.
“Laluan yang terbabit di Barat Daya ialah semua susur naik ke jambatan dari arah George Town dan Batu Maung menuju ke Batu Kawan, dengan pengguna disaran merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak terperangkap kesesakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hamzah juga berkata, pengguna jalan raya boleh menggunakan Jambatan Pulau Pinang sebagai laluan alternatif, manakala mereka dari Seberang Perai Selatan (SPS) pula boleh menggunakan laluan Lebuhraya Utara Selatan menerusi Tol Tambun dan Jawi serta Lebuhraya Bandar Cassia menuju ke susur naik ke Tol Bandar Cassia.
“Bagi penduduk Bandar Cassia yang mempunyai jadual penerbangan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dinasihati menggunakan Jambatan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau meminta semua pihak mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
Dalam pada itu Hamzah juga mengingatkan peserta terbabit PBIM agar meletak kenderaan di kawasan selamat dan tidak menyimpan barangan berharga bagi mencegah kes pecah kenderaan.
Difahamkan acara itu membabitkan seramai 22,000 peserta dari 64 negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.