Tumpuan :
Nasional

Jambatan ditenggelamkan banjir, penduduk gadai nyawa guna titi

Penduduk di Kampung Sungai Taku terpaksa bergadai nyawa melalui titi kecil selepas jambatan di kampung berkenaan masih ditenggelami banjir sejak lebih sebulan lalu. – FOTO: NSTP

KUALA KRAI: Lebih 50 penduduk Kampung Sungai Taku, di sini, terpaksa bergadai nyawa melalui titi kecil selepas jambatan di kampung berkenaan masih ditenggelami banjir sejak lebih sebulan lalu.

Tinjauan mendapati penduduk terpaksa mengambil tindakan itu walaupun mereka sedar risiko bahaya, namun tidak ada pilihan memandangkan hanya itu satu-satunya jalan utama yang digunakan untuk ke kampung berdekatan dan juga ke bandar Kuala Krai.

Menurut Mawardi Zulkifli, 34, sejak awal November lalu, jambatan konkrit yang digunakan penduduk sudah tidak boleh dilalui kerana ditenggelami banjir setinggi lebih lima meter akibat limpahan Sungai Taku.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu selain hujan lebat menyebabkan sehingga kini jambatan Kampung Sungai Taku masih lagi tenggelam.

“Justeru, bagi memastikan kehidupan harian penduduk tidak terjejas selepas jambatan ini tenggelam, kami sepakat mengadakan gotong-royong untuk membina titi sementara menggunakan pokok kelapaian sepanjang 20.12 meter dan papan serta tali kabel sebagai pemegang,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Taku.

Katanya, inisiatif berkenaan diambil untuk membantu memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk terutama untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan mereka terpaksa meninggalkan motosikal di seberang sungai.

“Malah ada juga penduduk yang mendayung perahu untuk menyeberang sungai kerana ada di antara mereka berasa takut untuk melalui titi kecil ini.

“Saya dan penduduk kampung di sini amat berharap pihak yang berkaitan lebih prihatin terhadap permasalahan penduduk terutamanya di kawasan pedalaman dan tidak menjadikan ketiadaan peruntukan sebagai alasan.

“Kami mahu jambatan konkrit berusia 40 tahun ini yang sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh dinaik taraf sekaligus memudahkan urusan harian penduduk,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mujid Che Hassan, 49, berkata, titi sementara yang dibina sejak lebih sebulan lalu pernah ditenggelami banjir menyebabkan penduduk di sini terputus hubungan selama beberapa hari.

“Kedudukan kampung kami yang paling hujung menyebabkan banyak pihak tidak mengetahuinya dan hanya terdapat beberapa buah kediaman sahaja,” katanya.

Katanya, dalam keadaan kami memerlukan, baru-baru ini terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang mengagihkan bantuan di kampung berdekatan termasuk Kampung Sungai Taku.

“Dalam lawatan yang diadakan, mereka bersimpati dengan keadaan penduduk di sini yang terpaksa bergadai nyawa menggunakan titi untuk menyeberang sungai.

“Bagi memastikan keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak, kumpulan NGO berkenaan sanggup membantu kami membina jambatan sementara yang lebih selamat sementara menunggu peruntukan yang diperlukan untuk menaik taraf jambatan konkrit yang tenggelam itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini