comscore
Tumpuan :
Nasional

Jambatan Bailey Kuantan-Segamat belum dibuka

Foto: NSTP

PEKAN: Jambatan Bailey di Seksyen 102 Jalan Kuantan-Segamat (FT012), dekat Pekan, Pahang yang hampir siap sepenuhnya dijangka dibuka dalam masa terdekat bagi kenderaan tidak melebihi berat 20 tan.

Ia sepatutnya dibuka esok namundisebabkan hujan berterusan menyebabkan kerja menurap tar menuju ke jambatan tidak dapat dilakukan mengikut jadual.

Jambatan sepanjang 30 meter itu dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang ekoran kejadian jalan mendap pada 7 Januari lalu selepas hujan berterusan di kawasan terbabit.

Hujan lebat mengakibatkan limpahan air sungai dan arus deras di bawah jalan menghakis permukaan tebing serta lapisan laluan berkenaan.

Kerja membina Jambatan Bailey bermula pada 11 Januari lalu dan seramai 35 kakitangan JKR Pahang terbabit dalam kerja pemasangan itu yang dilaksanakan dalam tempoh 24 jam.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Datuk Hafizah Zakaria berkata, tindakan jangka panjang pihaknya mencadangkan pembinaan jambatan membabitkan kos dianggarkan RM17 juta dan peruntukan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya dan dijangka disiapkan dalam tempoh kira-kira tiga tahun termasuk membabitkan reka bentuk.

Katanya, bagi mengatasi jalan di situ tidak mendap setiap kali musim tengkujuh, kerja menaikkan aras jalan terutama membabitkan laluan utama perlu dilakukan.

“Jambatan Bailey ini akan berada di tapak ini sehingga penyelesaian jangka panjang.

“Buat masa ini peruntukan menaikkan aras jalan telah diluluskan membabitkan jalan di Maran dan Jerantut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati kerja terakhir kini membabitkan proses menurap tar bagi pembinaan jalan menuju ke jambatan terbabit yang sebelum ini hanya jalan batu.

Rata-rata pengguna Lebuhraya Tun Razak itu tidak sabar untuk menggunakan laluan terbabit untuk ke tempat kerja di Muadzam Shah dan Pekan.

Ia berikutan jalan mendap itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan Jalan Pekan-Leban Chondong yang lmengambil masa lebih panjang.

Loading...
Terkini