SUNGAI BESAR: Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos, dikejarkan ke hospital selepas rebah secara tiba-tiba pada satu program UMNO, di sini, malam tadi.
Anaknya, Amin Daniel Jamal, 22, ketika mengesahkan insiden berkenaan memaklumkan bahawa Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur dan kini berada dalam keadaan stabil bawah pemantauan rapi oleh doktor pakar.
“Ayah rebah secara tiba-tiba ketika menghadiri program berkenaan. Ketika itu, saya turut hadir dan membawanya sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut
“Pihak hospital masih menjalankan ujian darah bagi mengenal pasti punca sebenar kesihatan ayah merosot,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Jamal terlantar di hospital selama berbulan-bulan, dan menyifatkan diri umpama ‘mati hidup kembali’ apabila pulih sepenuhnya daripada penyakit kanser paru-paru tahap empat.
Jamal dipetik berkata, pakar memberitahu keadaannya ketika terlantar itu sebagai sukar diselamatkan dan dijangka hanya mempunyai masa singkat untuk bertahan.
Katanya, ramai pakar perubatan kanser sependapat bahawa beliau hanya mempunyai hayat kira-kira 100 hari hingga Disember 2021.
Namun dalam keadaan beliau mula reda dengan sebarang kemungkinan, Jamal berkata, dirinya mengubah cara hidup dan ia berjaya membuahkan hasil. – BERITA HARIAN