KUALA LUMPUR: Jalur Gemilang sekali lagi menyinari bangunan pencakar langit tertinggi dunia, Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-66 semalam.
Burj Khalifa By Emaar dalam hantaran menerusi beberapa laman media sosial rasmi termasuk Instagram berkongsi video berdurasi 49 saat memaparkan cahaya warna-warni Jalur Gemilang menutupi seluruh ruang Burj Khalifa berserta iringan lagu Negaraku yang menerima kira-kira 19,000 tanda suka.
“Tonight, #BurjKhalifa shines for Malaysia’s Independence Day. As you mark this momentous day, may your nation flourish and your citizens embrace unity, prosperity, and joy. Warm wishes for a Happy Independence Day (Malam ini, #BurjKhalifa bersinar untuk Hari Kebangsaan Malaysia. Ketika anda meraikan detik bersejarah ini, semoga negara anda berkembang maju dan rakyat mengekalkan perpaduan, kemakmuran dan kebahagiaan. Selamat Hari Kebangsaan),” menurut hantaran itu.
Dalam pada itu, bangunan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) di Abu Dhabi turut dilimpahi warna Jalur Gemilang.
Beberapa rakyat Malaysia tidak mahu ketinggalan meluahkan rasa bangga mereka dengan inisiatif yang diambil oleh pemilik bangunan-bangunan berkenaan dalam meraikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Terima kasih! Proud to be Malaysian living in Dubai once upon a time, thanks for this and for the memories (Terima kasih! Bangga menjadi rakyat Malaysia yang tinggal di Dubai suatu ketika dahulu, terima kasih untuk ini (inisiatif Burj Khalifa) dan untuk kenangan ini,” menurut pemilik akaun Syigim dalam hantarannya di ruang komen platform media sosial tersebut.
Selain itu, pemilik akaun platform sama, Irwaniz mengucapkan terima kasih kepada kerajaan UAE yang mengiktiraf sambutan Hari Kebangsaan Malaysia tahun ini.
Bagi pemilik akaun amrahamajid pula, hatinya tersentuh apabila melihat Jalur Gemilang terpapar sekali lagi tahun ini di bangunan berkenaan.
“Glad Burj Khalifa decided to do this again this year thank you Emaar (Gembira Burj Khalifa melakukan sekali lagi tahun ini terima kasih Emaar),” katanya. – BERNAMA