Tumpuan :
Nasional

Jalani ujian air kencing syarat wajib sebelum diterima sebagai nelayan darat

Pegawai AADK Jelebu ketika mengendalikan ujian air kencing kepada bakal nelayan darat. – Foto NSTP

JELEBU: Saringan dadah atau ujian air kencing perlu dijalankan oleh individu sebelum menjadi nelayan darat berdaftar di bawah Jabatan Perikanan.

Di Jelebu, saringan itu turut dijalankan ke atas enam individu yang memohon menjadi nelayan darat dengan saringan dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jelebu.

Ketua Perikanan Daerah Jelebu, Mohd Azhar Jusoh, berkata semua nelayan berusia lingkungan 50 hingga 70 tahun itu disahkan negatif dadah.

Katanya, ujian saringan adalah syarat ditetapkan Jabatan Perikanan bagi memastikan golongan nelayan bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Sebaik disahkan menjadi nelayan darat, mereka akan nenerima bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) sebanyak RM250 sebulan, namun tertakluk kepada syarat ditetapkan Jabatan Perikanan.

“Antara syarat itu perlu menangkap ikan sekurang-kurangnya 25 hari sebulan dan pendapatan hasil nelayan 75 peratus daripada pendapatan kerja sampingan,” katanya.

Mohd Azhar berkata, setiap bulan mereka juga perlu melaporkan hasil pendaratan ikan dan pendapatan jualan ikan kepada Jabatan Perikanan.

“Semua nelayan darat ini tinggal di kampung masing-masing dan melakukan kerja kampung sebagai sumber pendapatan. Untuk rekod, ketika ini ada lapan nelayan darat berdaftar berbanding dua nelayan di daerah ini sebelum ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini