comscore
Tumpuan :
Nasional

Jalan Tun Hamzah menghala ke Bukit Katil ditutup ekoran mendapan tanah – EXCO

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (empat dari kanan) melawat tapak paip pecah di Jalan Tun Hamzah berhampiran Taman Ozana Impian, hari ini. Foto Melaka Hari Ini

MELAKA: Jalan Tun Hamzah menghala ke Bukit Katil berhampiran Taman Ozana Impian sepanjang kira-kira 1.2 kilometer, ditutup untuk kenderaan berikutan mendapan tanah.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, penutupan jalan berkenaan dilakukan bermula 2 pagi tadi bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan jalan dan paip sesalur utama bersaiz 400mm dan dijangka dibuka pada 12 tengah malam Jumaat.

Beliau berkata kerja-kerja pembaikan berkenaan dilakukan kontraktor Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan dipantau Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri bagi memastikan kejadian kira-kira 12 tengah malam tadi tidak berulang dan laluan dapat dibuka sebelum cuti panjang hujung minggu ini.

“Mendapan tanah dianggarkan sedalam lima meter itu berlaku akibat regangan paip di bahagian penyambungan di bawah tanah sehingga menyebabkan tekanan air tinggi dan penyambungan ‘collar’ paip yang lebih kukuh akan dibuat.

“Kerja-kerja pembaikan jalan dan paip ini agak mengambil masa kerana kita tidak mahu mengambil risiko pada struktur jalan raya yang lebih luas dan memerlukan penelitian agar tidak mendatangkan bahaya atau ancaman keselamatan kepada pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ekoran mendapan tanah di jalan tiga lorong itu kerana tindakan awal penutupan jalan berkenaan telah dilakukan SAMB dan JKR.

Kenderaan dari Tol Ayer Keroh ke Bukit Katil boleh melalui Kampung Tun Razak menerusi simpang kanan berhadapan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 200 pengguna akaun SAMB yang terjejas bekalan air akibat kerja-kerja paip bocor berkenaan melibatkan kawasan industri dan penempatan Fasa Tiga Taman Ozana Impian telah pulih sepenuhnya pada 11 pagi tadi. – BERNAMA

Loading...
Terkini