KLANG: Hujan berterusan sejak kelmarin mengakibatkan beberapa jalan di sekitar Meru Klang dinaiki air sehingga berlaku kesesakan terutama di Persiaran Hamzah Alang.
Ini adalah jalan utama yang menghubungkan laluan Pekan Meru ke Bukit Kapar, Tok Muda, Jeram juga ke Lebuh Raya Pesisiran Pantai (WCE).
Tinjauan wartawan mendapati, meskipun hujan renyai-renyai namun sehingga kini belum berhenti malah terdapat terdapat beberapa kenderaan ringan yang terpaksa berpatah balik di jalan berkenaan.
Sepanjang jalan ke kawasan Meru ini juga, terdapat banyak kenderaan penduduk sekitar diparkir di kiri kanan bahu jalan terutama di kawasan rendah.
Kelihatan rumah-rumah, masjid di jalan berkenaan turun dinaiki air dan difahamkan penduduk juga sudah berpindah ke kawasan selamat.
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Meru Ehsan, Mohammad Hamdan Abdul Muin, 50, yang ditemui di lokasi berkenaan berkata, dia bersama penduduk lain membuat pemantauan di situ sejak pagi tadi selain membantu menyuraikan kesesakan jalan.
“Air mula naik sejak malam tadi sehingga kini. Setiap tahun kalau hujan lebat memang begini keadaannya terutama jika hujan melebihi dua jam.
“Saya berada di jalan ini sejak awal pagi tadi, bantu pantau keadaan air juga kenderaan-kenderaan penduduk yang di parkir di kiri kanan jalan.
“Ada beberapa kenderaan ringan cuba mengharungi jalan yang ditenggelami banjir dan tenggelam. Kami beramai-ramai tolak sehingga ke tempat tinggi,” katanya.
Mohammad Hamdan berkata, jalan utama Pekan Meru ke Kapar itu dipengaruhi keadaan geografi yang mana ada lokasi mencecah sehingga paha dewasa dan ada juga pada paras betis.
“Kalau air laut pasang besar, keadaan mungkin lebih teruk. Kami memang terus berjaga-jaga dan sentiasa berhubung dengan Pusat Khidmat DUN Meru dan pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai mendapati, kelihatan keluarga mangsa banjir bersama beg pakaian dan juga dokumen penting di dalam kawasan sekolah itu.
Mereka turut disantuni pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat selain polis juga bomba yang membuat pemantauan.
Seorang mangsa banjir, Zanariah Mat Said, 55, berkata dia mengambil langkah awal kerana setiap tahun rumahnya antara yang terkesan akibat banjir setiap kali hujan lebat.
“Sekitar jam 10 malam tadi, saya keluar dengan anak, apabila tiba di rumah air sudah mula masuk, awalnya jerih lama-lama keruh.
“Ketika itu di paras buku lalu, tetapi air kotor keruh dan mula gatal-gatal, saya terus kemas barang bersama anak-anak kerana suami ‘outstation’ di Sarawak. Bersama kami ada tiga ekor kucing,” katanya.
Zanariah yang tinggal di Taman Seri Murni adalah salah satu dari lebih 100 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan sejak malam tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.