Tumpuan :
Nasional

Jalan rosak akibat kehadiran kenderaan berat

Oleh Ezzuan Ahmad

KEMAMAN: Kehadiran kenderaan berat yang menggunakan laluan alternatif Kampung Ibok menuju ke Bandar Seri Bandi di Kemaman, Terengganu, didakwa mengganggu ketenteraman penduduk setempat selain menyebabkan jalan raya sering rosak.

 

Tidak sampai dua tahun jalan dibaiki, laluan utama penduduk untuk ke kampung bersebelahan rosak teruk sehingga menimbulkan kesulitan kepada penduduk serta pengguna lain yang melalui jalan terbabit.

Jalan sepanjang kira – kira lima kilometer itu menjadi rosak teruk pada musim tengkujuh tahun lalu berikutan kenderaan berat seperti lori menggunakan laluan berkenaan untuk ke bandar Chukai susulan penutupan jambatan di Bandar Seri Bandi akibat hakisan.

Menurut Wan Mohd Jaafar Wan Abdullah, 35, kehadiran lori mengangkut bijih, lori balak serta beberapa kenderaan berat lain setiap hari menyebabkan struktur jalan menjadi pecah dan berlubang di sepanjang laluan terbabit.

Keadaan itu juga menyebabkan kerosakan pada kenderaan dan motosikal serta turut berlaku risiko kemalangan.

Malah, keadaan menjadi lebih berisiko pada waktu malam kerana keadaan jalan gelap dan berbahaya.

“ Keadaan jalan memang cukup teruk dan ada pengguna yang mengalami kerosakan kereta, tayar pecah dan ada juga yang bawa motosikal terjatuh akibat terlanggar lubang.

“ Paling bimbang pada waktu malam sebab jalan gelap sebab yang paling berisiko mereka yang menunggang motosikal sebab waktu malam memang gelap sepanjang jalan,” katanya.

Seorang lagi penduduk Adnan sulong, 60, berkata kebimbangan berkenaan isu keselamatan terutamanya kanak – kanak amat ketara kerana lori yang dipandu adakalanya tidak mengikut peraturan.

“ Waktu puncak memang bahaya kerana lori yang dipandu adakalanya laju dan pada waktu petang memang ramai kanak – kanak yang bermain di sekitar kawasan rumah dan ini yang paling kita bimbang,” katanya.

Justeru penduduk berharap tindakan segera dapat diambil bagi menangani masalah berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, JPKK, Ibok, Zakaria Ali ketika dihubungi berkata kenderaan berat terpaksa menggunakan laluan tersebut kerana ianya lebih dekat untuk menuju ke bandar berhampiran berbanding laluan alternatif lain yang jaraknya jauh dan memakan masa.

Menurut Zakaria, isu tersebut sudah dibawa ke pengetahuan pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman untuk perbincangan lanjut bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Loading...
Terkini