KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengesahkan kerosakan teruk pada jalan menuju perkampungan Orang Asli di Gua Musang berpunca daripada hujan lebat berpanjangan, ditambah dengan kemasukan kenderaan NGO tanpa kebenaran.
JAKOA menjelaskan bahawa tindakan tersebut bukan sahaja merosakkan laluan tetapi turut menjejaskan pergerakan harian penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman.
Dalam kenyataannya, JAKOA menyatakan keperluan mendesak untuk usaha bersepadu memperbaiki infrastruktur jalan demi kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
“Laluan Kampung Kuala Suma ke Pos Bihai dan Pos Belatim kini berada di bawah Projek Jalan Perhubungan Desa yang melibatkan laluan Kuala Betis–Pos Bihai–Pos Belatim–Pos Balar– Pos Hau. Projek itu sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.
“JAKOA akan terus memantau pelaksanaan projek ini dan melarang sebarang aktiviti kemasukan ke kawasan Orang Asli tanpa kebenaran yang boleh membawa mudarat kepada komuniti di sini,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu lebih 50 pelajar Orang Asli dari Pos Balar dan Pos Belatim mengambil masa 15 jam untuk menempuh perjalanan sejauh 80 kilometer bagi pulang ke rumah sempena cuti sekolah.
Kenderaan pikap yang membawa mereka menghadapi kesukaran melalui jalan berlumpur, menyebabkan perjalanan terganggu beberapa kali akibat kenderaan tersekat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.