KUALA NERUS: Jalan Pantai Kampung Tanjong, Batu Rakit, di sini, ditutup apabila laluan dari Batu Rakit menghala ke Mengabang Telipot runtuh akibat dibadai ombak jam 9 malam tadi.
Sejak awal pagi tadi, beberapa pekerja syarikat penyelenggaraan jalan sedang memasang tali dan batu penghadang serta papan tanda jalan ditutup di kedua-dua arah, memetik laporan BH.
Laluan sepanjang kira-kira 50 meter itu dikatakan runtuh selepas dibadai ombak besar setinggi 2.4 meter serta angin kencang bermula jam 6 petang dan berlarutan ke awal pagi ini.
Hakisan dijangka menjadi lebih teruk apabila ombak dikatakan mencecah sehingga 2.9 meter dengan kelajuan angin sekitar 40 kilometer sejam bermula jam 8 malam ini.
Penduduk, Khairul Anuar Shamshudin, 43, berkata, hakisan yang semakin mengganas turut memusnahkan bangsal serta jeti nelayan kampung berkenaan yang kini tinggal kenangan apabila semuanya sudah dibawa arus ke laut malam tadi.
“Hakisan berlaku terlalu cepat. Ahad lalu hanya sebahagian kecil jalan yang runtuh. Dalam masa enam hari, sudah separuh bahagian jalan ‘hilang’ dibadai ombak.
“Yang terbaharu ini (jalan runtuh) jam 9 malam tadi. Malam esok (malam ini) ombak dikatakan lebih tinggi iaitu 2.9 meter dengan kelajuan angin kira-kira 40 kilometer sejam dan ia akan meruntuhkan lebih banyak lagi bahagian jalan ini,” katanya ketika ditemui bersama beberapa penduduk sedang meninjau keadaan hakisan di lokasi berkenaan, awal pagi tadi.
Katanya, jalan berkenaan akan putus jika tidak ada tindakan segera diambil bagi mengelak hakisan terus berlaku di kawasan berkenaan sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.