PUTRAJAYA: Laluan masuk ke Istana Kehakiman dikawal ketat anggota polis dibantu pengawal keselamatan yang bertugas susulan himpunan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung persoalan ada atau tiada Titah Adendum yang akan diputuskan Mahkamah Rayuan.
Tinjauan mendapati jalan masuk itu dikawal sejak awal pagi dan hanya kakitangan dibenarkan memasuki kawasan itu selepas dibuat pemeriksaan oleh pegawai keselamatan bertugas.
Di luar kawasan Istana Kehakiman dilihat ramai anggota polis bersiap sedia bagi mengawal keadaan.
Semalam media melaporkan polis memberi amaran orang ramai supaya tidak hadir ke himpunan itu kerana ia tidak mendapat kebenaran.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran pemilik tanah sekali gus tidak mematuhi syarat-syarat seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu menyertai perhimpunan tersebut kerana ia melanggar undang-undang sedia ada.
“Seramai 456 pegawai dan anggota polis ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya hari ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.