comscore
Tumpuan :
Nasional

Jalan Aring-Terengganu masih ditutup kerana mendap

Tangkap layar daripada video tular berkenaan.

GUA MUSANG: Jalan Aring menuju sempadan Terengganu, di sini, masih ditutup kepada semua kenderaan kerana terkesan dengan kejadian mendapan pada Disember tahun lalu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan memaklumkan laluan itu kini disahkan dalam projek tindakan untuk pembaikan.

Kenyataan itu menyusul selepas tular video menunjukkan mendapan teruk berlaku di Jalan Aring-Terengganu sehingga menimbulkan kerisauan pengguna jalan raya.

Berdasarkan video terbabit, keseluruhan struktur jalan dilihat runtuh dan mendap serta tidak dapat dilalui kenderaan.

JKR memaklumkan lokasi kejadian sebelum ini menerima taburan hujan tinggi sepanjang tempoh kejadian berlaku iaitu sebanyak 70 milimeter (mm) per jam dan pola hujan tinggi.

“Selain itu, terdapat aliran air bawah tanah yang mengalir secara aktif di lokasi tapak kejadian.

“Tindakan sudah diambil dengan menutup segera permukaan jalan serta cerun yang terdedah dengan kanvas plastik bagi mengelakkan air meresap dan mengalir masuk ke dalam kawasan rekahan,” katanya.

JKR berkata, kerja pembaikan mendapan tambakan ini akan dilaksanakan segera selepas kelulusan peruntukan diperoleh daripada Pusat.

“Tindakan orang awam menceroboh kawasan projek yang masih belum dibuka seperti ditularkan di media sosial boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Tapak pembinaan adalah kawasan larangan untuk orang awam bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Loading...
Terkini