Tumpuan :
Nasional

Jalan alternatif hubungkan Forest City dijangka siap Rabu ini

ISKANDAR PUTERI: Jalan alternatif sepanjang satu kilometer sedang dibina pengurusan Forest City susulan kejadian mendapan tanah di Jalan Forest City-Pelabuhan Tanjung Pelepas dekat Iskandar Puteri, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pembinaan jalan alternatif yang bermula malam tadi, akan mengambil masa 48 jam dan dijangka siap sepenuhnya pada 26 Julai ini.

Artikel berkaitan: Sebahagian laluan mendap di Forest City

“Setelah berbincang dengan pihak pemaju, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Jabatan Kerjaraya (JKR), beberapa perkara telah diputuskan.

“Jalan keluar dari Forest City ditutup sepenuhnya manakala jalan masuk ke Forest City dijadikan laluan keluar dan masuk untuk kenderaan ringan dua hala dengan kawalan ketat polis trafik.

“Semua pihak dinasihatkan mengurangkan pergerakan keluar masuk ke Forest City buat masa ini dan semua kenderaan berat dilarang sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Fazli berkata, pihak JKR sedang memantau pergerakan tanah di kawasan itu.

Katanya, kajian segera sedang dibuat sebelum apa-apa tindakan selanjutnya dilakukan.

“Semua pihak diminta untuk terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan yang perlu,” katanya.

Petang semalam, jalan utama sepanjang 25 meter di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas di sini dilaporkan berlaku tanah mendap yang menyebabkan laluan itu ditutup sementara kepada kenderaan.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku lebih kurang jam 2 petang itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Loading...
Terkini