Tumpuan :
Nasional

Jalan alternatif Gua Musang-Kuala Lipis sempena Aidilfitri


GUA MUSANG: Bermula hari ini sehingga 2 Mei, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan perubahan trafik bagi laluan alternatif Jalan Gua Musang-Kuala Lipis sempena musim perayaan.

Ini susulan penutupan jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis, bermula di hadapan Petronas Persiaran Raya Gua Musang sehingga ke lampu isyarat Taman Wangi.

Ketua Pengarah JKR, Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool, berkata pihaknya bekerjasama dengan polis dan telah menjalankan satu program di mana sebolehnya sebahagian jalan akan jadi laluan sehala.

“Bermula malam ini kita akan memasang penghadang dan sebagainya (tanda arah) supaya selepas ini akan jadi jalan sehala untuk mengurangkan konflik kenderaan yang bergerak dari arah bertentangan.

“Selain mengurangkan lintasan kenderaan di persimpangan yang boleh menyebabkan konflik dan kemalangan. Ini usaha kita untuk mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan lagi keselamatan pihak pengguna walaupun kita tahu memang ada kesesakan” katanya ketika ditemui di Tapak Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di sini.

Ahmad Redza berkata, laluan alternatif itu juga sudah melalui proses pelebaran bagi membolehkan pengguna melaluinya dan memenuhi piawaian ditetapkan.

“Laluan alternatif adalah jalan lama panggil FT08. Sebelum ini lebar jalan itu bagi laluan sehala adalah kira-kira 3 meter.

“Pada hujung 2021, kita melebarkan jalan berkenaan menjadikan sehala 3.5 meter dua hala tujuh meter. Ia sama dengan standard jalan yang pengguna lalui contohnya dari arah Lembah Klang.

“Jadi kalau pengguna kenderaan itu datang dari Lembah Klang melalui jalan dua hala di laluan alternatif ini, ada beberapa lencongan dan jarak jauh sedikit iaitu enam kilometer (km) berbanding jalan yang ditutup empat kilometer.

Pada masa sama pihaknya turut menjangkakan kesesakan akan bermula pada Selasa minggu depan apabila perantau mula bergerak pulang ke kampung halaman mereka.

“Memang ada sedikit kesesakan terutama musim perayaan tetapi kita harap pengguna jalan rayadapat bersabar dan mengikut peraturan memandu dengan cermat,” katanya.

Loading...
Terkini