Tumpuan :
Nasional

JAKOA baik pulih 81 rumah masyarakat Orang Asli

KUANTAN: Sebanyak 81 rumah masyarakat Orang Asli yang mengalami pelbagai jenis kerosakan telah dibaik pulih Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang tahun lalu menerusi peruntukan mencecah lebih RM13 juta.

Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi, berkata sebanyak 20 rumah lagi akan dibaik pulih dengan kos RM300,000 setiap rumah melalui peruntukan yang telah diluluskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi penggal pertama tahun ini.

Beliau berkata, selain itu 10 unit rumah akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM1.32 juta dengan keutamaan diberikan kepada mangsa bencana seperti ribut, terbakar dan serangan gajah.

Rumah berkenaan dibina dengan tiga bilik serta tandas dan bilik mandi.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha membantu menyediakan kemudahan kediaman kepada masyarakat Orang Asli, malah bagi rumah yang mengalami kerosakan usaha membaiki dilakukan secara berterusan sepanjang tahun.

“Setiap tahun antara 100 hingga 120 permohonan untuk membaiki rumah diterima seluruh negeri dan sejak 2010 sebanyak 5,000 permohonan untuk memiliki rumah baharu diterima.

“Permohonan rumah baharu yang ditimpa bencana seperti terbakar, ribut dan diserang gajah lebih diberi keutamaan,” katanya ditemui dipejabatnya, di sini semalam.

Katanya, tahun ini terdapat dua permohonan membabitkan rumah terbakar dan lima lagi dilanda ribut termasuk serangan gajah di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis.

Johari berkata, dalam kejadian enam Disember tahun lalu, seorang wanita Orang Asli maut selepas dipijak gajah dan dalam kejadian itu haiwan berkenaan turut merosakkan rumah wanita terbabit.

Katanya, rumah baharu berharga RM66,000 akan dibina untuk keluarga berkenaan di tapak baharu yang lebih selesa dan selamat, proses pembinaan akan dilakukan tidak lama lagi.

“Kos bagi baik pulih rumah ialah RM15,000 manakala bagi bina baharu RM66,000 seunit. Faktor kenaikan harga bahan binaan setiap tahun menyebabkan tidak banyak rumah baharu dapat disediakan untuk masyarakat Orang Asli.

“Dua tahun (2021/2022) pembinaan rumah baharu tidak dapat dilakukan, berikutan kos menyediakan rumah lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan RM56,000. Keputusan menaikkan harga membina rumah baharu kepada RM66,000 diluluskan kerajaan.

“Saya berharap masyarakat Orang Asli yang sudah menerima rumah bantuan kerajaan pusat dan negeri supaya menghargai pemberian berkenaan. Mereka seharusnya merasa bertuah kerana ramai lagi rakan mereka yang tidak berpeluang menerima kemudahan itu,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini