Tumpuan :
Nasional

JAKIM tidak kompromi tindakan cetus provokasi, kemarahan, ketegangan masyarakat

Harith Iskander

KUALA LUMPUR: JAKIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menghina agama Islam serta menegaskan tiada ruang diberikan untuk sebarang bentuk penghinaan dalam masyarakat.

Menurut kenyataan disiarkan di Facebook, Platform Talian Hina Agama sudah disediakan untuk menerima aduan berkaitan isu penghinaan terhadap agama Islam terutama yang dicetuskan menerusi laman media sosial.

Platform yang disediakan itu jelas menunjukkan komitmen JAKIM dalam memastikan sebarang tindakan yang tidak menghormati sensitiviti agama dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.

Kenyataan itu dibuat susulan tular Pelakon dan pelawak, Harith Iskander serta Cecelia Yap yang memuatnaik kandungan dan komen jelik membabitkan agama Islam pada akaun Facebook.

Dua individu berkenaan masing-masing akan dikompaun RM10,000, apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, pihaknya menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk berbuat demikian kepada dua indvidu terbabit.

Tindakan kompaun berkenaan dikenakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu.

Pelawak, Harith Iskander dipanggil JAKIM untuk mendapat penjelasan dan diberi nasihat serta teguran berhubung hantaran di Facebook dengan memuat naik sekeping gambar menunjukkan segelas kopi dinamakan hamsap kopi berharga RM5.50 pada 7 Februari lalu. – FOTO: JAKIM / Facebook

Pada 7 Februari lalu, JAKIM memanggil Harith Iskander untuk mendapat penjelasan dan diberi nasihat serta teguran. Sesi tersebut turut dihadiri oleh pegawai daripada pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, pula menegaskan, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi, kemarahan, dan ketegangan dalam masyarakat.

Beliau berkata, JAKIM memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan media yang jelas mempermainkan serta mempersendakan ajaran Islam dan tular di media sosial.

“Tindakan sedemikian jelas mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat, malah berpotensi menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum.

“Keamanan dan kesejahteraan negara hanya dapat dikekalkan melalui sikap saling menghormati serta memahami antara masyarakat.

“Oleh demikian, sempena Ramadan yang penuh mulia ini, semua pihak dinasihatkan untuk mengamalkan sikap hormat-menghormati serta menjaga adab,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini