comscore
Tumpuan :
Nasional

JAKIM tidak akan berkompromi isu berkaitan akidah umat Islam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan akidah umat Islam kerana ia perkara asas yang seharusnya dipelihara setiap masa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, masyarakat yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan kegiatan yang diragui dan boleh memesong akidah umat Islam perlu  melaporkannya kepada pihak berwajib.

“Orang ramai boleh membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

“Penyaluran maklumat kepada pihak berkaitan penting sebagai asas dan maklumat sokongan kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Agama Islam negeri-negeri dalam melakukan siasatan kepada isu yang dikaitkan dengan pihak terbabit,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini

.Beliau berkata demikian mengulas mengenai arahan pertemuan JAKIM bersama pihak wakil syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).

Terdahulu semalam, Mohd Na’im mengesahkan akan ada libat urus dengan wakil syarikat GISB.Ia susulan pelbagai dakwaan terpalit dengan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa yang antaranya mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan.

Mohd Na’im turut memaklumkan JAKIM sudah diarahkan mengadakan pertemuan dengan GISB Holdings untuk mendapatkan maklum balas serta penjelasan daripada pihak terbabit.

Selain itu, beliau turut memberi jaminan JAKIM akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dan pihak berkuasa agama Islam negeri dalam melakukan siasatan kepada isu yang dikaitkan dengan pihak itu.

“Pada masa sama, JAKIM bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut diminta untuk memperhebatkan usaha penerangan mengenai kepentingan menjaga akidah kepada umat Islam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini