comscore
Tumpuan :
Nasional

JAKIM tapis pelantikan guru KAFA berlandaskan aliran ASWJ

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan meneliti dan menapis pelantikan Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) menggunakan mekanisme aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dalam memperkasa pelaksanaan program tersebut secara holistik di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, sekiranya guru KAFA tidak memahami konteks ASWJ, maka ia akan membantutkan usaha falsafah pendidikan KAFA.

“Tapisan kepada guru-guru KAFA ini sangat penting supaya tidak mencacatkan konteks untuk membina murid-murid dalam pendidikan KAFA yang menjurus kepada pegangan dan ajaran ASWJ,”

“Pihak JAKIM akan menilai dan akan mengadakan satu proses yang agak teliti supaya guru-guru KAFA yang dilantik untuk mengajar dan mendidik tu akan benar memahami dan mengikuti aliran ASWJ”, kataya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkaitan langkah kerajaan dalam memperkasa program KAFA di seluruh negara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemerkasaan guru KAFA mendepani era kecerdasan buatan (AI) sebagaimana diajukan oleh Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, Na’im memberitahu sistem Smart Murabbi, Platform e-pembelajaran dan aplikasi e-RPH (Rancangan Pengajaran Harian) telah diperkenal bagi membantu meningkatkan kompetensi guru KAFA.

“Sistem Smart Murabbi diperkenal untuk memberi latihan kompetensi perguruan yang memberi manfaat kepada guru KAFA dalam meningkatkan kemahiran Pelaksanaan Pentaksiran Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PDPC)

“Selain itu, aplikasi e-RPH yang menggantikan rancangan pengajaran harian guru yang sebelum ini menggunakan kaedah manual”, jelasnya.

Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain adalah satu usaha berterusan untuk mendidik dan membentuk pelajar-pelajar beragama Islam ke arah memperkembang fitrah individu (Insan) selaras dengan kehendak Al-Quran dan As-Sunnah.

Selain itu, konsep KAFA adalah suatu program berteraskan pengukuhan asas Pendidikan Islam dengan memberi penekanan kepada kemahiran membaca Al-Quran serta asas-asas Fardhu Ain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini