KUALA LUMPUR: Garis panduan khusus berkaitan penyertaan orang Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam sedang dimuktamadkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, garis panduan itu akan diperkenalkan supaya pembabitan orang Islam dalam majlis itu tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti.
Menurutnya, sebagai contoh, perkara itu membabitkan ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agama, persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama umat Islam.
Selain itu, ia turut membabitkan pelaksanaan majlis dalam tempoh umat Islam melaksanakan ibadah seperti waktu azan, solat jemaah, khutbah dan solat Jumaat.
“Ia juga membabitkan lokasi majlis tidak berhampiran dengan masjid, surau, tanah perkuburan Islam dan tanah wakaf serta premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berhubung ketetapan kerajaan mengenai sambutan perayaan agama lain selain Islam di premis kerajaan yang turut membabitkan orang Islam.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pihak penganjur juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan pandangan pihak berkuasa agama Islam sekiranya jemputan membabitkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Beliau berkata, garis panduan ini akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.
“Garis panduan ini juga melengkapi garis panduan 2005 dan masih boleh dijadikan sebagai panduan.
“Mana-mana yang dalam garis panduan lama bertentangan dengan yang baru, maka garis panduan yang lama tidak akan terpakai,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.