Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya mempercepatkan proses permohonan sijil halal daripada berbulan sehingga 30 hari.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, JAKIM sememangnya komited dalam menyegerakan proses berkenaan selain memastikan pihak pemohon tidak berdepan sebarang birokrasi yang panjang.
“Sebenarnya JAKIM berjaya mempercepatkan sijil halal daripada beberapa bulan sehingga 30 hari. Ini juga akan diusahakan lagi ditambah baik dari semasa ke semasa sekiranya kita lihat dari segi statistik ada peningkatan permohonan dan kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berhubung tindakan kerajaan dalam memastikan permohonan sijil halal dapat disegerakan.
Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, setakat tahun lalu, jumlah kutipan fi sijil halal juga mencatatkan peningkatan positif sebanyak RM80 juta.
Angka itu katanya merupakan perkembangan memberangsangkan selain menjadi pengukur bahawa lebih ramai pemohon khususnya premis makanan telah mula untuk mendapatkan perakuan sijil halal.
Menurutnya lagi, hasil kutipan itu juga bakal digunakan bagi melaksanakan program kesedaran mengenai kepentingan memperoleh sijil halal dalam industri makanan dan minuman.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa