Oleh: Aslina Abu Bakar
SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di New Zealand bagi mengekang penularan ajaran SiHulk yang dikatakan telah didaftar sebagai NGO di negara itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan itu dikeluarkan sebaik pengikut ajaran berkenaan melarikan diri ke negara berkenaan.
Jelasnya, kesemua NGO Islam di New Zealand yang bekerjasama dengan JAKIM mempunyai pengaruh kuat terhadap umat Islam di negara itu.
“Mereka sudahpun sedia maklum mengenai kehadiran ajaran SiHulk di negara mereka selain sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai ajaran sesat yang disebarkan.
“Kerjasama dengan gabungan NGO Islam di sana bertujuan memberikan input dan fakta yang benar berkaitan ajaran menyeleweng yang disampaikan kumpulan Si Hulk,” katanya kepada media pada program HISHAJ peringkat Shah Alam di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.
Mohd Na’im berkata, melalui jalinan berkenaan kementerian berharap penyebaran maklumat sahih kepada masyarakat Islam di sana dapat diberi secara tuntas supaya mereka tidak terpengaruh dengan ajaran sesat yang disebarkan pengikut- pengikut SiHulk.
“Dalam bidang kuasa sedia ada, kerajaan mampu untuk menghalang mereka daripada didaftarkan sekiranya hal itu berlaku dalam negara, tetapi mereka kini berada luar negara, jadi saya rasa ia adalah di bawah kuasa kerajaan New Zealand.
“Bagaimanapun, kita mengambil inisiatif tadilah untuk memastikan pertubuhan Islam dan NGO Islam di New Zealand yang benar-benar mengikuti Islam yang sebenar untuk mendapatkan maklumat tadi,”Katanya.
Selasa lalu, pengasas ajaran sesat SiHulk membuat posting pertubuhan itu telah didaftarkan sebagai NGO di New Zealand di akaun Facebook miliknya.
Menerusi catatan itu, dia memaklumkan pihaknya kini lebih bebas menyebarkan agama Islam mengikut pemahaman mereka.