Tumpuan :
Nasional

JAKIM nafi dakwaan bahan mentah sandwic kontroversi ada sijil halal

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan bahawa bahan mentah produk Ham dan Cheese Sandwich mempunyai sijil halal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya menegaskan sekali lagi bahawa pemeriksaan yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu mendapati produk berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), malah syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM.

“Hasilnya, tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 diambil oleh pihak KPDN.

“Dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada Pihak Berautoriti Pensijilan Halal Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.

“Hal ini kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan secara keseluruhan.

“Oleh itu, JAKIM menggesa pengusaha-pengusaha di luar sana supaya cakna terhadap peruntukan undang-undang yang digunapakai bagi mengelakkan daripada perkara sebegini berulang,” katanya.

Terdahulu, syarikat pengeluar sandwic kontroversi mendedahkan bahan mentah digunakan dalam pembuatan makanan itu memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Shake And Bake Cafe Sdn Bhd dalam kenyataan yang dikeluarkan akhbar tempatan hari ini dilaporkan berkata penghasilan sandwich itu menggunakan roti, keju dan kepingan daging ayam yang diperakukan halal oleh JAKIM.

Syarikat itu juga mengesahkan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta JAKIM sudah melakukan siasatan ke atas premis mereka pada jam 12 tengah hari, Jumaat lalu.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini