Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melakukan kerjasama strategik dan libat urus bagi membantu meningkatkan jumlah permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk produk kosmetik, produk farmaseutikal dan produk barang gunaan.
Timbalan Menteri Agama, Zulkfli Hassan berkata, JAKIM bersama-sama agensi pembimbing usahawan memfokuskan kepada strategi bimbingan kepada industri bagi memastikan industri bersedia memohon pensijilan halal.
Langkah tersebut adalah mengadakan program kesedaran pensijilan halal kepada industri, mengadakan latihan intensif permohonan pensijilan halal kepada industri melalui Penyedia Latihan Halal dan Rakan Strategik yang diselaras oleh JAKIM, menganjurkan klinik halal sebagai bimbingan kepada pemohon pensijilan halal yang bermasalah.
Selain itu, kerjasama dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia turut dilakukan dalam membimbing usahawan industri mikro mengemukakan permohonan pensijilan halal serta Program Halal on Track yang bertujuan membimbing pensijilan halal secara terus, pameran dari pelbagai pemain industri dan ceramah berkaitan pensijilan halal.
Menurutnya, JAKIM bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa menyediakan ruang dan platform kepada para usahawan untuk mendapatkan maklumat serta panduan bagi memohon SPHM.
“Melalui program bimbingan dan fasilitasi klinik halal yang dianjurkan secara berkala, ia menjadi platform yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pensijilan halal Malaysia.
“Program Halal on Track yang dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama MAIN/JAIN yang merupakan ilham daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, juga merupakan antara inisiatif yang digerakkan sebagai platform membantu usahawan ke arah mendapatkan pensijilan halal Malaysia,” ujarnya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Khalib Abdullah bertanyakan usaha dan komitmen JAKIM bagi meningkatkan sijil pengesahan halal bagi produk bukan makanan seperti produk kosmetik, produk farmaseutikal, produk barang gunaan, produk peranti perubatan dan rumah sembelihan.
Menurut Zulkifli lagi, kerjasama strategik dengan institusi perbankan turut dilaksanakan, antaranya melalui inisiatif seperti Solusi Halal Maybank dan Bank Islam (Projek Kiub Halal) bagi membantu usahawan khususnya Industri Kecil dan Mikro dari aspek prasarana sebagai persediaan untuk mendapatkan pensijilan halal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.