Tumpuan :
Nasional

JAKIM, KPDN disaran kaji keperluan tingkatkan denda isu salah guna sijil halal

Foto hiasan

Oleh: Syafiqah Damanhuri

CYBERJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) disaran untuk mengkaji keperluan meningkatkan kadar denda berhubung penyalahgunaan sijil halal.

Timbalan Mufti Wilayah, Jamali Mohd Adnan berkata perkara itu bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab terus cuba memperdayakan masyarakat.

“Itu mungkin salah satu penyelesaian dan kita serah kepada KPDN dan pihak Jakim mengkaji sekiranya penyalahgunaan tanda halal itu semakin meningkat makin banyak dan sebagainya.

“Kenapa tidak dinaikkan kadar denda berkenaan?,” Katanya ketika ditemui pada Majlis Penerimaan Sijil Halal Ayam Gepuk Pak Gembus.

Tambahnya, sijil halal tidak diberikan secara kekal kepada syarikat, sebaliknya untuk tempoh tertentu dengan pemeriksaan berkala dilakukan bagi memastikan pematuhan.

“Dari segi syarikat yang baru mendapat sijil halal, jika mereka dapat hari ini, kita beri tempoh selama dua tahun. Dalam tempoh dua tahun itu, pemantauan akan dibuat dan pemeriksaan dilakukan secara mengejut bagi memastikan status halal sentiasa dikekalkan.

“Ada pihak yang sudah mendapat sijil halal mengambil mudah, diam sahaja. Tetapi kita akan sentiasa melakukan pemantauan.

“Kita juga meletakkan syarat bahawa syarikat yang mendapat sijil halal perlu mempunyai komiti halal di syarikat masing-masing. Eksekutif halal dan sebagainya akan memastikan kualiti halal terus dipertahankan,” ujarnya.

Sebelum ini, dalam laporan media, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk ‘ham and cheese sandwich’ yang diragui status halalnya.

Menurutnya, JAKIM sudah melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini