comscore
Tumpuan :
Nasional

JAKIM fokus aspek akidah kanak-kanak terbabit GISBH

Dr Zulkifli (dua kiri) beramah-mesra dengan perwakilan Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan di Klana Resort Seremban. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melaksanakan pelan tindakan menyeluruh bersama agensi berkaitan dalam menangani isu Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Ia termasuk membantu mangsa dalam kalangan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Op Global bermula 11 September lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, tumpuan utama pihaknya adalah untuk memastikan aspek akidah dan kebajikan kanak-kanak, remaja serta wanita yang terbabit dengan GISBH.

“JAKIM memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk menjaga akidah, kebajikan dan masa depan anak-anak serta mereka yang terbabit dengan GISBH.

“Alhamdulillah, banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan khidmat daripada beberapa perspektif untuk membantu bekerjasama dengan JAKIM,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan Kali Ke-8 di Klana Resort, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Prof Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim.

Zulkifli berkata, pihaknya menyambut baik kesediaan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) untuk menawarkan khidmat bantuan guaman dan pemulihan kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam isu GISBH.

“Alhamdulillah, kita menyatakan terima kasih kepada PGSM, sebenarnya banyak pihak yang menyatakan kesediaan untuk menawarkan perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Mengulas berkaitan operasi pihak berkuasa agama negeri dan siasatan PDRM yang mempercayai bahawa ada dalam kalangan ahli GISBH dipercayai masih mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah, Zulkifli berkata, orang ramai perlu menunggu siasatan lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Kita perlu rujuk kepada pihak berkuasa yang melakukan siasatan (bagi mendapatkan pengesahan) dan buat masa ini, biar pihak berautoriti yang mengeluarkan kenyataan mengenainya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini