Tumpuan :
Nasional

Jajaran semula landasan, Kejuruteraan Nilai faktor jimat kos bina ECRL

Foto Hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang berjalan ketika ini (ECRL 3.0) yang lebih rendah dicapai melalui beberapa siri rundingan semula kontrak ECRL yang dimuktamadkan pada 2019 dan tahun ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan berkata, beberapa faktor termasuk pelaksanaan Kejuruteraan Nilai (VM) yang menyeluruh dan penjajaran semula landasan ECRL pada Seksyen C (Temerloh-Serendah-Pelabuhan Klang) menyumbang kepada pengurangan kos pembinaan keseluruhan.

“MOT ingin memaklumkan bahawa penjimatan RM11.01 bilion untuk ECRL yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri semalam adalah perbandingan Kos Pembangunan Keseluruhan (TDC) antara Projek ECRL yang dilancarkan pada 2017 (ECRL 1.0) dan Projek ECRL yang sedang berjalan pada masa ini (ECRL 3.0),” katanya.

Menurut kenyataan itu, TDC untuk ECRL 1.0 adalah berjumlah RM85.97 bilion merangkumi kos pembinaan sebanyak RM66.78 bilion dan kos pembangunan lain seperti Faedah Semasa Pembinaan (IDC), pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan serta perbelanjaan mengurus berjumlah RM19.19 bilion.

Katanya, sebagai perbandingan, TDC untuk ECRL 3.0 dianggarkan berjumlah RM74.96 bilion terdiri daripada kos pembinaan yang jauh lebih rendah iaitu sebanyak RM50.27 bilion, manakala kos pembangunan lain seperti IDC, pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan serta perbelanjaan mengurus adalah berjumlah RM24.69 bilion.

“Pada kos pembinaan sebanyak RM50.27 bilion tersebut, rakyat Malaysia kini dapat menikmati Projek ECRL yang telah ditingkatkan nilainya bagi perkhidmatan penumpang dan kargo.

“(Ia merangkumi) pembinaan rel sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, pembinaan 20 stesen, pembinaan Serendah Bypass yang melancarkan pergerakan kargo dari utara serta pemanjangan rel dari Stesen Jalan Kastam ke kedua-dua terminal Westport dan Northport,” katanya kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut lagi, kementerian menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan berterusan untuk memastikan Projek ECRL dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Loading...
Terkini