comscore
Tumpuan :
Nasional

JAIS tegas tangani kes dera, gangguan seksual pelajar 

FOTO: Jabatan Agama Islam Selangor – Rasmi / Facebook

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kesal dengan beberapa kes penderaan fizikal dan kes gangguan seksual membabitkan pelajar sekolah agama swasta di negeri berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Shahzihan Ahmad menegaskan kes-kes terbabit sangat mendukacitakan dan amat terpesong daripada prinsip mendidik mengikut Islam.

“Kes terbaharu yang tular membabitkan empat pelajar yang hilang dari sebuah sekolah tahfiz dan ditemui di Bukit Jelutong kerana disyaki didera dan menjadi mangsa seksual.

“Jika benar berlaku, ini adalah suatu yang sangat memalukan, melampau, tidak bertamadun dan terkeluar sama sekali daripada konsep mendidik yang ditetapkan oleh Islam.

“Pendidik sepatutnya memberi contoh teladan yang baik kepada pelajar supaya sesuai dengan peranannya sebagai seorang pendidik.

“Tidak boleh sama sekali, sistem pendidikan dan kurikulum Islam yang dilaksanakan di sekolah merosakkan prinsip manusiawi dan ihsan atas alasan membentuk sahsiah Islam kepada pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pendaftar Sekolah Islam Selangor berkata, JAIS sekali lagi mengingatkan kepada jemaah pengurusan, pentadbir dan guru sekolah agama swasta di Selangor, bahawa JAIS tidak akan teragak-agak menamatkan pendaftaran mana-mana sekolah agama swasta di Selangor.

“Ini mengikut Seksyen 15 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan (2001), jika didapati sekolah terbabit dengan penderaan dan gangguan seksual kepada pelajar atau apa sahaja bentuk perbuatan tidak wajar yang menyanggahi prinsip asas Islam.

“JAIS juga akan mengambil tindakan menutup sekolah terbabit mengikut Seksyen 25 enakmen yang sama,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata, mendidik dalam Islam sangat dekat dengan sikap guru, hati nurani guru untuk mendidik dengan ikhlas dan sabar, bersangka baik kepada pelajar dan sentiasa mendoakan pelajar dalam apa juga keadaan.

“Ibu bapa dan penjaga juga diingatkan supaya sentiasa memerhati perkembangan anak-anak dari semasa ke semasa supaya kelainan sikap dan tingkah laku anak-anak yang dikesan di peringkat awal.

“Ini akan membolehkan kita mengambil langkah-langkah yang sesuai dan tepat bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin buruk dan merosakkan masa depan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 8 enakmen yang sama, pihak sekolah swasta adalah tertakluk untuk didakwa dan mendakwa.

Selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga turut boleh mendakwa dan menuntut hak anak-anak jika telah diperlakukan selayaknya untuk dibawa ke muka pengadilan.

FOTO: Jabatan Agama Islam Selangor – Rasmi / Facebook

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini