comscore
Tumpuan :
Nasional

JAIS sahkan premis jual ayam tebuk tiada sijil halal

Pemeriksaan dilakukan pegawai JAIS bersama MPKL di bahagian jualan ayam pasar raya di Banting.-FOTO NSTP

PETALING JAYA : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan ayam tebuk yang dijual di sebuah pasar raya di Bukit Changgang, Banting, Selangor tidak mempunyai sijil halal yang sah.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya melalui Seksyen Penguatkuasaan Halal JAIS bersama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah melakukan pemeriksaan di premis itu Khamis lalu.

Beliau dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hasil pemeriksaan dijalankan mendapati premis berkenaan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sah.

“Premis juga didapati melakukan penyalahgunaan logo halal Malaysia kerana mempamerkan logo tanpa memiliki SPHM yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Siasatan dan tindakan lanjut dibuat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Manakala hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan ialah denda tidak melebihi RM200,000.

Pada masa ini, terdapat sembilan skim pensijilan halal yang ditawarkan JAKIM iaitu skim produk makanan dan minuman, premis makanan dan kosmetik.

Skim pensijilan halal meliputi farmaseutikal, barang gunaan, logistik, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan peranti perubatan.

Permohonan SPHM boleh dibuat melalui laman sesawang www.halal.gov.my

Loading...
Terkini