comscore
Tumpuan :
Nasional

JAIS arah tangguh semua program ceramah Ustaz Don 

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan atau tidak membuat apa-apa tindakan mengundang Ustaz Don Daniyal Don Biyajid untuk mengajar agama Islam atau perkara berkaitan agama Islam di premis masing-masing bermula 21 Jun lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh ustaz itu yang disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) amat berkenan dan menekankan kepada semua pemegang tauliah supaya umat Islam di Selangor dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

“Sehubungan itu, JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di negeri Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan-pandangan dan pernyataan mengenai hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah MAIS semalam memutuskan Ustaz Don Daniyal perlu mengemukakan kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa terhadap beberapa fakta mengenai ceramah agama yang dibuat olehnya.

“Ini selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 supaya penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau.

“Berdasarkan beberapa aduan diterima pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don Daniyal mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“JAIS amat berharap semua pihak di Selangor dapat berkerjasama dan akur serta dapat mematuhi arahan untuk tidak mengundang atau membatalkan sesi ceramah atau apa-apa jua bentuk pengajaran agama Islam yang akan dilaksanakan membabitkan Ustaz Don Daniyal sehingga Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini