Tumpuan :
Nasional

JAIPk akan nasihati Raja Bomoh

Ibrahim mencuri tumpuan sewaktu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa mendapan tanah di Masjid India itu pada Rabu. (Gambar kecil) Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim. – Foto fail

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menasihati individu dikenali sebagai Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin berhubung tindakan individu itu yang mencuri tumpuan di tempat kejadian mendapan tanah membabitkan seorang individu warga India di Masjid India, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, bagaimanapun siasatan mengenai sekiranya berlaku pelanggaran perundangan syariah ketika Raja Bomoh itu dikatakan membantu usaha mencari mangsa yang masih belum ditemui, diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri (PBAN) tempat kejadian itu berlaku.

“Nanti kita tengok, kita panggil balik Insya-Allah …Kita akan kemukakan nasihatlah (dalam) hal ni.

“Kalau dia berlaku bukan di tempat (negeri) kita, kita tak inilah (ambil tindakan). Makna kalau dia (berlaku) di Selangor (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), maka negeri itu yang akan ambil alih, iaitu berdasarkan kesalahan itu dibuat di negeri mana,” katanya ketika ditemui selepas Program Bicara Santai sempena karnival Merdeka x Hingo Fest 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini malam tadi.

Harith Fadzilah ditanya sama ada JAIPk akan memanggil atau menasihati Raja Bomoh berkenaan yang juga merupakan anak kelahiran negeri Perak, selain individu itu juga sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Syariah di Perak bagi kesalahan mengadakan ritual atau upacara bercanggah dengan agama Islam dan hukum syarak.

Pada Januari 2022, Ibrahim, 73, dilapor sudah berjanji kepada JAIPk untuk tidak akan mengulangi perbuatan mengadakan ritual atau sebarang upacara bercanggah dengan agama dan hukum syarak.

Ianya selepas JAIPk, didakwa oleh Ibrahim datang berbincang dan beri kesedaran kepadanya atas alasan selama ini dia tidak tahu bahawa ritual perbomohannya dianggap oleh JAIPk sebagai bertentangan dengan hukum syarak sejak tahun 2015 lagi.

Akujanji yang dibuat Ibrahim ketika itu adalah selepas dia bersama seorang wanita, Suliaha Abdul Hamid, 62 (ketika kejadian), yang dikenali sebagai Puteri Zaleha dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh susulan satu ritual menolak musibah banjir yang dilakukan mereka di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata beliau sudah meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk memanggil Raja Bomoh itu pada kelmarin (Khamis) untuk berbincang dan menerangkan kepada Ibrahim sudut kesalahan dari  segi akidah mengenai perbuatan individu itu.

Mohd Naim dilapor berkata, selain untuk menasihat, Bahagian Penguat Kuasa JAWI juga akan menyiasat sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang mengikut Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

Ibrahim mencuri tumpuan sewaktu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa mendapan tanah di Masjid India itu apabila dikatakan merenjis air ‘istimewa’ di sekitar lokasi berhampiran insiden terbabit

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini