comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JAINJ kerjasama dengan MCMC, lumpuhkan ajaran sesat Si Hulk

JOHOR BAHRU: Pengikut ajaran sesat Si Hulk dipercayai membuat rakaman video dengan mengeluarkan kenyataan Allah adalah Nabi Muhammad SWT dimuat naik di media sosial dari luar negara.

Ini menyukarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk membuat tangkapan dan penguatkuasaan lanjut terhadap pengikut ajaran SiHulk yang diasaskan oleh Suhaini bin Muhammad yang dipercayai berada di New Zealand.

Justeru Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sekiranya mereka pulang ke negeri ini, tangkapan boleh dibuat mengikut undang-undang sedia ada.

Katanya, fatwa negeri Johor yang diwartakan bertarikh 22 Julai 2021 telah menyatakan bahawa ajaran Suhaini Si Hulk ini merupakan ajaran sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.

“Antara penyelewengan ajaran ini ialah mendakwah Nabi Muhammad sebagai tuhan, Nabi Muhammad tidak mempunyai jantina, menafsirkan sendiri sebuah hadis dengan menyatakan Nabi Muhammad tiada kemaluan dan sebagainya.

“Pengasas dan juga pengikut ajaran sesat Si Hulk ini sebenarnya pengecut, mereka hanya berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian setelah tidak berada di dalam negara.

“Siasatan dibuat mendapati video-video itu dimuat naik dari New Zealand, bila di luar negara mereka di luar bidang kuasa Johor, sebab itu tidak boleh ambil tindakan secara perundangan, itu kesulitan yang perlu difahami,”katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kompleks Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Fared, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan bagi membendung ajaran itu.

Katanya antara langkah awal yang boleh dibuat adalah untuk menyekat penyebaran video-video oleh golongan itu.

“Saya mohon untuk supaya masyarakat tidak mengikuti video dan rakaman berunsur ajaran sesat ini, jika ada terlihat rakaman yang pelik dan musykil boleh maklumkan kepada JAINJ. Saya perasan setiap profile picture di laman sosial pelaku video ini mempunyai ayat ‘ready to help beserta dia simbol hati’, mohon jauhi laman sosial seperti ini bagi menjaga akidah.

“Jelas ajaran itu telah menyimpang dan sesat, terkeluar daripada ajaran Islam yang diamalkan di negeri Johor. Apabila ajaran-ajarannya pelik dan tidak logik, adalah lebih baik untuk dijauhi.”Malah masyarakat juga diminta tidak menyokong aktiviti perniagaan dan kemasyarakatan ajaran sesat SiHulk, bagi melumpuhkan ajaran itu.”Status terkini kilang air SiHulk yang berada di Johor, Selangor dan Indonesia, ia telah ditutup.

“Difahamkan penutupan itu selepas sijil halal mereka ditarik semula kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan pada 3 Jun 2021 lalu.”Oleh yang demikian, sekiranya produk tersebut masih berada dalam pasaran, pemilik premis diminta untuk menghentikan jualan produk-produk berkenaan kerana ia menyokong aktiviti ajaran sesat tersebut,” katanya.

Semalam tular dua video, lima sekeluarga termasuk ibu dan bapa membuat pengakuan ajaran sesat di Facebook, selain dua individu iaitu lelaki dan wanita yang membuat pengakuan bahawa Allah itu Nabi Muhammad.

Loading...
Terkini