Tumpuan :
Nasional

JAINJ anjur kempen pulih tandas 585 sekolah agama Johor

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melaksanakan Kempen Sekolahku Sejahtera-1T di negeri ini bagi membaik pulih kemudahan tandas di 585 sekolah agama kerajaan Johor (SAKJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata kempen yang bermula sejak 21 Mei lalu, itu dijayakan bersama Bahagian Pendidikan Islam JAINJ dan Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID).

Katanya, peruntukan bagi menjayakan kempen itu membabitkan kos berjumlah RM400,000 dan ia dijangka siap sepenuhnya pada Ogos ini.

“Proses membaik pulih membabitkan masalah tandas tersumbat, longkang tersumbat, mangkuk, lampu, saluran, siling, pam, paip, sinki dan menggantikan pintu tandas yang rosak.

“Kita semua mahu tandas-tandas di semua 585 sekolah agama kerajaan Johor dalam keadaan baik dan dapat digunakan oleh anak-anak kita dengan selesa.

“Insya’Allah, kerja-kerja baik pulih semua tandas di seluruh sekolah agama kerajaan Johor akan bermula bulan ini dan selesai 100 peratus pada Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Fared berkata pihaknya juga akan mengadakan program kesedaran dan sayangi tandas di kalangan murid.

“Saya sendiri akan bersama-sama anak-anak kita membersihkan tandas di sekolah-sekolah supaya anak ini ada sifat bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan tandas masing-masing.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tandas sekolah di seluruh negara ini masih banyak dalam keadaan rosak tanpa sebarang tindakan biarpun sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Katanya dapatan itu diperoleh selepas pihaknya mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memeriksa keadaan tandas di sekolah di seluruh negara bagi memastikan murid mendapat kemudahan yang selesa.

Loading...
Terkini