Tumpuan :
Nasional

JAIM Siasat Pembatalan Ceramah Lelaki Mengaku Keturunan Nabi

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ditemui selepas program Majlis Penyerahan Cenderahati Bayi Qurratu A’yun sempena sambutan Maulidur Rasul 144H/2022M di Hospital Melaka hari ini.
Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Kerajaan Melaka tidak mendapat sebarang maklumat mengenai pembatalan penganjuran ceramah program Maulidur Rasul yang dihadiri individu lelaki mendakwa dirinya keturunan ke-38 Nabi Muhammad S.A.W, malam tadi.

Tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, setiap penceramah yang mahu mengadakan program di Melaka perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa agama sebelum diteruskan.

“Maklumat pembatalan penceramah keturunan ke-38 Rasulullah itu belum sampai kepada saya lagi.

“Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Datuk Md Rawi Mahmud) perkara itu akan dibawa ke Pejabat Mufti dahulu untuk dinilai,” katanya pada sidang media selepas program Majlis Penyerahan Cenderahati Bayi Qurratu A’yun sempena sambutan Maulidur Rasul 144H/2022M di Hospital Melaka di sini, hari ini.

Beliau mengulas pembatalan program individu dari Maghribi dikenali sebagai Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi yang didakwa sebagai keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW di sini malam tadi.

Program itu sepatutnya dijadualkan berlangsung pada jam 7.30 hingga 11.30 malam di sini malam tadi.

Ditanya adakah pembatalan program itu dikeluarkan Jabatan Mufti Melaka, Sulaiman berkata perkara itu di luar pengetahuannya kerana tidak berada di lokasi penganjuran.

Setakat ini, tiada pihak bertanggungjawab menguruskan ceramah individu terbabit termasuk tidak mengemukakan sebarang permohonan kepada Jabatan Mufti Melaka.

Sebelum ini, media melaporkan program dihadiri individu sama dibatalkan di beberapa negeri termasuk di Selangor, Kedah, Terengganu.dan Kelantan.

Loading...
Terkini