Tumpuan :
Nasional

JAIM cekup pengikut ajaran sesat Si Hulk di Jasin

Foto : NSTP

MELAKA: Hasrat seorang lelaki disyaki pengikut ajaran sesat Suhaini bin Mohammad atau ‘Si Hulk’ untuk bergabung dengan pengasasnya di New Zealand tidak kesampaian apabila dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di rumahnya di Jasin, Ahad lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan bersama isteri dan tiga anaknya kira-kira jam 8.30 malam dan pihaknya turut merampas risalah ajaran sesat itu.

Menurutnya penahanan itu hasil siasatan berterusan JAIM terhadap kumpulan itu selepas tular video di media sosial pada 20 Mac lalu mengenai dua lelaki Islam di Melaka yang memberi kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dengan mengatakan Baginda adalah Allah.

“Hasil soal tanya terhadap orang yang disyaki (OYDS), dia mengaku sepatutnya berangkat ke New Zealand bersama isteri dan tiga anaknya pada Selasa lalu untuk bersama pengasas ajaran sesat itu dan ahli kumpulan yang sudah berada di sana.”

Katanya, siasatan turut mendapati ada beberapa lagi individu dari negeri lain yang turut berhasrat berpindah ke New Zealand bagi menyertai kumpulan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat JAIM di MITC di sini, hari ini.

Datuk Rahmad berkata, siasatan mendapati ajaran sesat itu bermula sejak tahun lalu dan di Melaka jumlah pengikutnya dianggarkan antara 10 hingga 20 orang.

Tambah Datuk Rahmad, Melaka pada 30 Mei lalu memfatwakan fahaman Suhaini bin Mohamad ini adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam berasaskan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Berikutan itu, orang ramai perlu segera berhenti daripada mengikuti ajaran sesat itu dan merujuk JAIM jika terdapat kekeliruan.

Umat Islam yang didapati terbabit dalam penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu Seksyen 60 (Ajaran Salah), Seksyen 61 (Mempermainkan Ayat Quran atau Hadis), Seksyen 62 (Mempersendakan Agama Islam) dan Seksyen 63.

Loading...
Terkini