Tumpuan :
Nasional

Jaga tatasusila, jangan lakukan provokasi semasa konsert Coldplay – Polis

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang provokasi semasa atau selepas konsert kumpulan rock Coldplay: Music Of The Spheres World Tour  yang dijadual berlangsung esok di Stadium Bukit Jalil.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan pada konsert berkenaan.

Beliau berkata 75,000 penonton dijangka hadir ke konsert itu dan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin, pemeriksaan badan, beg dan barangan akan dilakukan di pintu masuk yang dibuka pukul 6 petang oleh polis bagi memastikan tiada barangan terlarang dibawa masuk.

“Pengunjung dilarang membawa masuk mercun, topi keledar, laser, objek tajam, senjata, minuman keras, payung atau tongkat, powerbank dan botol air.

“Pengunjung turut dilarang membawa masuk pemetik api, rokok dan rokok elektronik, pembesar suara dan menerbangkan drone,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zam Halim berkata pihak polis tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang telah dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang hadir ke konsert berkenaan untuk menggunakan pengangkutan awam dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium.

“Orang ramai juga dinasihati mematuhi arahan anggota polis yang bertugas, mengamalkan sikap tolak ansur dan bersabar ketika memandu di sekitar stadium berkenaan,” katanya. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini