CYBERJAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) meminta orang ramai membantu menjaga 500 unit siren amaran banjir yang sudah dipasang di seluruh negara bagi memantau situasi banjir bagi mengelakkan kerosakan termasuk akibat vandalisme.
Timbalan Pengarah (Operasi) Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), JPS, Ir Dr Salwa Ramli berkata, siren amaran banjir ini ada di seluruh negara yang memberi amaran secara lokal kepada penduduk setempat.
“Siren itu berbunyi berdasarkan kepada status aras air sungai di kawasan terbabit di mana ia lebih kepada kawasan pengumuman setempat yang boleh didengari lebih kurang satu hingga dua kilometer (km).
“Cuma kita sarankan kepada masyarakat di kampung untuk turut sama menjaga aset itu sebab ada yang tidak berfungsi kerana perbuatan vandalisme termasuk hilang. Sampah sarap tersangkut juga boleh menjejaskannya,” katanya selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL)2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong, di sini, hari ini.
Salwa berkata, pihaknya ada membuat pertemuan dengan ketua kampung dan memerlukan kerjasama sekiranya melihat alat itu mengalami masalah terus lapor kepada JPS daerah bagi tindakan segera diambil.
“Kita juga dalam perancangan untuk menambah siren terbabit terutamanya untuk kawasan yang tidak ada model ramalan banjir.
“Sebab bukan semua kawasan boleh dibuat model ramalan banjir kerana ia bergantung kepada jenis banjir yang terdapat empat kategori banjir,” katanya.
Beliau berkata, jenis banjir itu adalah banjir Monsun Timur Laut (MTL), banjir kilat, banjir pantai dan banjir termenung.
“Alat siren ini memang akan ada yang rosak tetapi pihak kita sentiasa menyelenggara bagi menghadapi persiapan banjir.
“Saya juga ingin mempromosikan laman sesawang Public Info Banjir yang dibangunkan sendiri oleh JPS iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my/,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.