Tumpuan :
Dunia Seni

Jaclyn dakwa foto digunakan pihak tak bertanggungjawab untuk penipuan

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Penyanyi Jaclyn Victor, 47, memaklumkan individu menyunting fotonya melalui kecerdasan buatan (AI) sebagaimana dimuatnaik di akaun Instagram (IG) semalam, didakwa berasal dari India serta berpangkalan di sana.

Jaclyn berkata, dia bagaimanapun belum lagi membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana sibuk dengan aktiviti seninya seperti pelancaran album Glorious dan ‘showcase’ istimewa pada hujung minggu ini.

“Buat masa ini, saya belum pergi ke Balai Polis membuat aduan kerana masih sibuk dengan urusan kerja terutama persediaan untuk ‘showcase’ sempena pelancaran album Glorious di Aurum Theatre The Exchange (TRX), Sabtu dan Ahad ini.

“Namun, daripada maklumat saya peroleh menunjukkan individu terbabit berasal dari India dan berpangkalan di sana. Dia bukan orang tempatan dan sukar juga untuk mengesan kerana nama sama mungkin digunakan ratusan ribu orang.

“Cuma, saya kena buat laporan polis untuk keselamatan dan membawa aduan mengenai perkara yang juga ‘scammer’ ini ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Harian Metro.

Terdahulu, Jaclyn ditemui hadir pada pelancaran album terbaharunya, Glorious di sebuah pusat karaoke di ibu kota, di sini, petang tadi yang memuatkan sembilan lagu dan proses rakaman dilakukan di New York, Amerika Syarikat (AS).

Berbicara lanjut isu fotonya disunting dan penyebaran berita palsu itu, Jac berkata, dia mula dimaklumkan mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan oleh peminat dan kenalan kira-kira dua bulan lalu menerusi ‘link’ dikirimkan.

“Ada bermacam ‘link’ dikirimkan kepada saya. Tapi, ketika itu saya buat biasa saja. Namun, semalam saya rasa wajar memuatnaik di ‘feed’ IG sebagai peringatan kepada masyarakat di luar sana agar tidak tertipu dengan foto disunting serta laporan berita palsu ditulis itu.

“Ini kerana, saya bimbang kalau ada yang tertipu nanti dan berharap orang ramai tidak terpedaya dengan mudah pada iklan ‘scammer’ membabitkan pelaburan kewangan dengan penggunaan foto saya yang disunting secara AI,” katanya.

Terdahulu, Jaclyn nekad membuat hantaran berkaitan berita palsu yang mengaitkan dirinya ditangkap pihak berkuasa dengan foto disunting dalam keadaan ‘tidak manis’ menyebabkan dia berasa sangat kesal.

Ibu dua cahaya mata itu menerusi hantaran di akaun IG, nyata kecewa dengan apa yang berlaku kerana fotonya disunting dalam keadaan berbogel serta dikaitkan juga pada aktiviti pelaburan kewangan tidak wujud.

“Mereka ini betul-betul buat saya marah. Cukup-cukuplah. Nak cakap lebih-lebih tak guna, nanti kita juga yang jadi orang tak baik.

“Saya akan pergi ke balai polis sebab perkara ini sudah tidak terkawal. Kenapa saya bogel?,” tulisnya pada kapsyen foto yang dimuatnaik.

Difahamkan foto Jaclyn yang disunting itu menunjukkan dia kononnya ditangkap dengan tangan digari dalam keadaan ‘tidak manis’ apabila diiringi polis.

Foto disunting itu bagaimanapun dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti penipuan atau ‘phishing’ dalam talian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini