comscore
Tumpuan :
Nasional

Jabatan Perikanan terima 10 bot peronda

FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Sepuluh bot peronda bersaiz 13 meter milik Jabatan Perikanan Malaysia yang dibina pada Julai tahun lalu membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta, siap sepenuhnya hari ini.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pembinaan bot itu bertujuan meningkatkan keupayaan pengawasan bagi melindungi sumber perikanan serta mencegah pencerobohan dan aktiviti perikanan haram di perairan negara.

Katanya, kesemua bot akan ditempatkan di negeri strategik iaitu Johor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Melaka dan Kelantan.

“Ia mampu memperkukuhkan keupayaan melaksanakan rondaan melalui program pemantauan, kawalan dan pengawasan (MCS) di perairan ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan 10 Bot Peronda kepada enam Jabatan Perikanan negeri di di sini, hari ini.

Katanya, sehingga 2023, Jabatan Perikanan Malaysia memiliki sebanyak 86 bot pengawasan yang bertanggungjawab menjaga kawasan perairan seluas 600,000 kilometer persegi meliputi zon ekonomi eksklusif (ZEE), pulau dan kawasan perairan negara.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain (kiri) mendengar penjelasan daripada pegawai perikanan negeri mengenai bot baharu milik Jabatan Perikanan Malaysia pada Majlis Penyerahan 10 bot peronda 13M (meter) di MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd. – FOTO: NSTP

Bagaimanapun katanya, kesemua bot berkenaan bersaiz kecil iaitu 10 dan 11 meter serta tidak mampu menjalankan tugas pengawasan dengan berkesan.

“Jadi dengan adanya bot bersaiz besar dilengkapi dengan peralatan elektronik dan canggih seperti GPS, radar, echosounder dan sistem komunikasi terkini, ia dapat meningkatkan keupayaan jabatan dalam memastikan undang-undang perikanan dipatuhi,” katanya.

Adnan berkata, sejak Januari hingga Oktober tahun ini, pihaknya merekodkan sebanyak 826 kes tangkapan membabitkan vesel tempatan yang melanggar Akta Perikanan 1985 merangkumi 18 kategori kesalahan termasuk sitaan pukat dan vesel, pencerobohan zon, tangkapan serta pelanggaran syarat lesen.

Katanya, dalam tempoh itu, pihaknya menahan seramai 1,410 nelayan tempatan dan asing, manakala sebanyak 220 kompaun dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM565,000.

Beliau berkata, kesalahan paling tinggi ialah pelanggaran zon kawasan, menggunakan peralatan diharamkan seperti pukat bubu naga dan tidak mematuhi syarat pelesenan serta tidak mendapatkan permit menggajikan pekerja asing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini