TAIPING: Kes membabitkan bekas ADUN Telemong, Terengganu Datuk Rozi Mamat yang dikatakan menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik, dua minggu lalu masih disiasat Jabatan Perikanan (DOF).
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Mohammad Aznan Abdullah, berkata siasatan masih berjalan berikutan penafian Rozi yang mendakwa alat digunakannya bukan untuk merenjat ikan.
Sebaliknya, Rozi mendakwa alat berkenaan menggunakan bateri motosikal bervoltan rendah yang kebiasaannya digunakan untuk menangkap ikan bagi dijadikan umpan.
“Kalau dia kata bukan (tangkap guna) elektrik kita nak tengok benda itu. Jika jelas menggunakan alat elektrik memang di mana-mana perairan pun salah dan kita akan dakwa.
“Jadi terpulang kepada pihak pendakwaan negeri terbabit (untuk meneruskan atau membatalkan pendakwaan),” katanya pada Program Pemuliharaan Paya Bakau Sebagai Habitat Pembiakan Ikan di Pejabat Ranger Hutan Kuala Trong, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohammad Aznan berkata Kelantan mencatat kes tertinggi bagi kesalahan tangkap ikan guna renjatan elektrik.
Pada 5 Julai lalu, media melaporkan Jabatan Perikanan sudah memanggil Rozi untuk diambil keterangan berhubung dakwaan menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik.
Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu sudah memberi keterangan jam 2 petang 4 Julai lalu.