comscore
Tumpuan :
Nasional

Jabatan Perhutanan Pahang tumpaskan 50 kes kesalahan hutan tahun lalu

JPNP merampas balak yang cuba dipindahkan secara haram. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merekodkan 50 kes membabitkan kesalahan pencerobohan hutan simpan kekal dan enakmen industri berasaskan kayu tahun lalu.

Kesalahan lain yang turut dikesan adalah aktiviti melombong emas secara haram, memindahkan hasil hutan tanpa permit serta kesalahan lesen kawasan tanah kerajaan dan tanah milik.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata sebanyak 37 kes membabitkan kesalahan pencerobohan hutan simpan dan tanah kerajaan diikuti lima kes enakmen industri berasaskan kayu, memindahkan hasil hutan tanpa permit (empat) dan kesalahan lesen kawasan tanah kerajaan dan milik (tiga).

Menurutnya, Cameron Highlands mencatat kesalahan tertinggi dengan 10 kes diikuti masing-masing tujuh di Jerantut termasuk Kuantan, Pekan dan Maran. Enam kes di Bentong, Lipis (lima), Rompin (empat) dan Raub (tiga).

“Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands mencatat jumlah tertinggi kes pencerobohan hutan simpan kekal untuk aktiviti pertanian membabitkan 10 kes.

“Setiap tahun tindakan diambil melalui beberapa operasi musnah namun kegiatan menceroboh hutan simpan kekal tetap masih berlaku, kita akan terus mempergiatkan usaha mengesan dan menyekat kesalahan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, selain rondaan secara berjadual di beberapa kawasan panas, penggunaan dron dan satelit digunakan bagi mengesan

pencerobohan hutan simpan kekal dan tanah kerajaan di negeri ini.

Nor Azirim menambah, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan kerajaan juga terus dilakukan dalam berkongsi maklumat selain operasi bersepadu yang diadakan hampir setiap tahun.

Beliau berkata tahun lalu sebanyak 12 kes di kompaun antara RM2,500 hingga RM35,000 dan dua kes dibawa ke mahkamah yang membawa hukuman denda sehingga RM12,000.

“Jabatan turut mengharapkan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat aktiviti pencerobohan hutan, memindahkan hasil hutan tanpa permit dan melombong emas.

“Kerjasama berkenaan dapat mematahkan kegiatan menyalahi undang-undang yang akhirnya mengundang kerugian pada kerajaan negeri,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini