Tumpuan :
Nasional

Jabatan Penjara kesan wujud sindiket penipuan tawar pakej makanan untuk banduan

Penjara Malaysia. – Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara mengesan wujudnya kegiatan sindiket penipuan menyamar sebagai kakitangannya menawarkan pakej pembelian makanan istimewa untuk banduan.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerima beberapa aduan daripada keluarga atau waris banduan berkaitan penipuan oleh sindiket penipuan dengan meminta sejumlah wang untuk tujuan pembelian makanan istimewa itu.

“Jabatan Penjara mahu memberi peringatan kepada orang ramai mengenai modus operandi terbaru oleh sindiket penipuan yang menyasarkan ahli keluarga serta waris banduan.

“Sindiket penipuan ini dilaporkan menyamar sebagai pegawai penjara dengan menggunakan nama samaran palsu seperti Sarjan Haziq, Sarjan Akmal, Sarjan Nazri, Sarjan Zul, Sarjan Sani, Sarjan Zam dan pelbagai nama samaran lain.

“Ini bertujuan memperdaya ahli keluarga atau waris banduan dengan menggunakan pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp,” katanya.

Tambah kenyataan itu, sindiket juga menggunakan pelbagai nombor telefon mudah alih dan meminta sejumlah wang kononnya untuk pembelian makanan istimewa bagi prospek di dalam institusi penjara.

“Sindiket penipuan ini juga menggunakan beberapa akaun bank tumpangan bagi transaksi wang daripada ahli keluarga atau waris banduan.

“Laporan polis sudah dibuat oleh mangsa yang terbabit dan Jabatan Penjara akan bekerjasama dalam membantu siasatan pihak polis.

“Jika didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Jabatan Penjara tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu katanya, ahli keluarga atau waris prospek yang menerima pesanan ringkas mencurigakan dinasihatkan tidak membuat sebarang transaksi wang kepada individu atau nombor akaun yang tidak dikenali atau mencurigakan.

“Buat laporan di balai polis berhampiran sekiranya menerima pesanan seumpama ini, serta melaporkan perkara itu kepada pihak institusi penjara bagi tindakan lanjut.

“Jabatan Penjara komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan prospek serta keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, pihaknya meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak terperdaya dengan taktik licik sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama Jabatan Penjara untuk kepentingan peribadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini