Tumpuan :
Nasional

Jabatan Penjara digesa laksana hukuman alternatif elak isu penjara sesak – KDN

Foto hiasan

SUNGAI PETANI: Isu kesesakan penjara masih menjadi antara cabaran terbesar yang dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini kapasiti penjara adalah seramai 72,000 orang, namun jumlah banduan sudah mencecah hampir 80,000 orang, dengan tambahan 6,000 orang berada dalam komuniti.

Beliau menggesa Jabatan Penjara lebih agresif melaksanakan hukuman alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada pemenjaraan sepenuhnya.

“Antara langkah yang diperkuatkan ialah Perintah Kehadiran Wajib (PKW) yang mana banduan menjalani hukuman di luar penjara dengan syarat tertentu.

“Selain itu, terdapat juga tahanan di rumah yang membolehkan banduan tertentu menjalani baki hukuman di rumah dengan pemantauan ketat, serta pemakaian Peranti Pemantauan Elektronik (EMD).

“Ini membolehkan banduan yang dibebaskan bersyarat di bawah pengawasan dengan gelang penjejak elektronik berkenaan,” katanya.

Saifuddin berkata, sekiranya kesesakan penjara tidak ditangani, ia boleh menjejaskan persekitaran dalam penjara, masalah kesihatan, pergaduhan dan tekanan kepada pegawai penjara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini