Tumpuan :
Nasional

Jabatan Peguam Negara nafi lakukan pendakwaan terpilih

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan sebarang keputusan untuk mendakwa mana-mana individu adalah berdasarkan kepada keterangan dalam kertas siasatan tanpa memihak kepada sesiapa.

AGC dalam kenyataan hari ini berkata keputusan pendakwaan juga dilakukan berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperolehi keadilan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menolak dakwaan AGC melakukan dakwaan terpilih, ia menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan dan bukannya atas desakan mana-mana pihak atau faktor lain.

“Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih, bermotif politik dan penganiayaan (persecution) terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang,” katanya.

“Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu itu akan didakwa oleh Jabatan Peguam Negara berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang orang yang didakwa,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan dakwaan bahawa berlakunya pendakwaan terpilih yang bermotif politik dan penganiayaan dalam pendakwaan kes baru-baru ini.

AGC tidak merujuk kepada mana-mana kes dalam kenyataan itu tetapi dipercayai berkaitan dengan dakwaan pembangkang dan beberapa pihak lain kononnya pendakwaan ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengikut Akta Hasutan 1948 semalam sebagai penganiayaan berunsurkan politik dengan menyalahgunakan perundangan negara.

Semalam Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Pusat, didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Selayang atas dua pertuduhan menghasut.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan, mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politik, minggu lalu.

Muhammad Sanusi dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Loading...
Terkini