Tumpuan :
Nasional

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang siasat tahap keselamatan gula-gula ‘gummy’

Baki gula-gula kenyal yang ditemui dalam poket seluar kank-kanak yang meninggal dunia akibat tercekik makanan itu di Pulau Pinang pada Selasa lalu.

GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sedang menjalankan siasatan berhubung tahap keselamatan gula-gula kenyal (gummy) berbentuk mata yang dipercayai menjadi punca kematian seorang kanak-kanak lelaki, semalam.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO) Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, berkata tindakan susulan akan diselaraskan di peringkat ibu pejabat menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, ia adalah bagi memastikan segala prosedur keselamatan dipatuhi dan langkah pencegahan diambil bagi mengelak kejadian serupa di masa hadapan.

“Hasil siasatan awal mendapati gula-gula itu dipercayai diperoleh dari gerai berhampiran sekolah mangsa.

“Susulan itu, pasukan penyiasat JKNPP melakukan pemeriksaan di premis yang dikenal pasti di Jalan Sungai Dua, Butterworth sebelum menyita ‘Gummy Original Basketball Soft Candy’s’ (gula-gula) itu.

“Selain itu, JKNPP juga akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Daniel Gooi menasihati orang ramai terutama ibu bapa agar memantau anak-anak mereka supaya lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan, khususnya yang mempunyai risiko tercekik.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan kanak-kanak lelaki, Mohamad Fahmi Hafiz Mohd Fakhruddin, 10, berada dalam kritikal dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal yang dibeli di luar kawasan Kelas-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA), Sungai Dua, Butterworth, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan rebah ketika hendak ke tandas sebelum gurunya menghubungi pasukan perubatan.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia kira-kira jam 11 malam tadi di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Loading...
Terkini